Foto tular di media sosial apabila lelaki OKU dibuli seorang lelaki. FOTO Ihsan Pembaca
Badrul Kamal Zakaria


LELAKI berusia 30 tahun menjadi buruan polis kerana menjadi suspek utama dalam kejadian buli terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Muar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Idris Rajab berkata, polis sudah mengenal pasti lelaki itu dan kini giat memburunya.

“Kita sudah mengenal pasti suspek yang juga penduduk tempatan dan usaha mengesannya giat dilakukan.

“Setakat ini, laporan awal yang diterima mendapati mangsa pesakit mental dipercayai dibuli suspek.

“Polis juga masih melakukan siasatan menyeluruh berkaitan kejadian itu,” katanya.

Idris berkata, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Sementara itu, empat siri video berdurasi antara 13 saat hingga seminit dan lima saat tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

Ia mendapat kecaman daripada pengguna media sosial.

Video terbabit memaparkan mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan batang besi selain suspek meminta mangsa menyanyi dan kepalanya dipakaikan dengan baldi pembancuh simen.

Pengguna media sosial yang berang dengan perlakuan buli itu meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan mahu pembuli berkenaan dikenakan hukuman berat kerana jenayah yang dilakukan keterlaluan dan boleh memberi kemudaratan kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:29 PM