FOTO hiasan Arkib NSTP
Suraya Roslan


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup 82 lorong tambah nilai di semua plaza tol seluruh negara bermula 31 Januari sehingga 11 Februari depan sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Syarikat konsesi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan lorong itu bagi mengelakkan kesesakan disebabkan pengguna lebuh raya beratur di lorong tambah nilai serta membantu melancarkan pergerakan trafik.

“PLUS juga menasihatkan pelanggan supaya menambah nilai kad Touch ‘n Go masing-masing di 10,000 lokasi tambah nilai di seluruh negara termasuk mesin ATM, kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak serta 66 lokasi kiosk layan diri disediakan di plaza tol dan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) terpilih.

“Malah, kami mengingatkan pelanggan supaya memastikan kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki mencukupi menjelang cuti perayaan ini.

“Bagi pelanggan yang tidak mempunyai kad berkenaan boleh menggunakan MyKad masing-masing untuk transaksi tol,” katanya.

Selain itu, pusat khidmat pelanggan PLUS yang terpilih akan dibuka antara jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum bagi membolehkan pengguna lebuh raya membuat urusan tambah nilai di plaza tol terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:42 PM