GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


PENUNTUT matrikulasi maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum dia terjatuh dan diseret kereta di Kilometer (KM) 32 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jitra, malam tadi.

Dalam kejadian 8.40 malam itu, mangsa, Syazwan Mohd Sharifudin, 19, yang menunggang berseorangan datang dari arah Jitra menghala ke Kepala Batas sebelum motosikalnya melanggar bahagian belakang kereta Proton Saga yang rosak di laluan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mangsa kemudian terbabas ke laluan tengah lebuh raya sebelum dilanggar kereta Toyota Vios yang datang dari arah belakang.

Katanya, siasatan awal mendapati, kereta Proton Saga itu ditinggalkan di laluan kecemasan sejak pagi semalam, kerana mengalami kerosakan dan kakitangan PLUS sudah meletak 10 kon amaran di belakang kenderaan terbabit.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal terbabit dikatakan terlanggar bahagian bucu kanan kereta itu lalu hilang kawalan sehingga masuk ke laluan tengah lebuh raya.

“Pada ketika itu, kereta Toyota Vios yang dipandu wanita kemudian melanggar dan mengheret mangsa sehingga jarak kira-kira 10 meter menyebabkan penunggang terbabit parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di Jitra, hari ini.

Berikutan itu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat dengan keluarganya di Taman Suasana Permai sudah dimaklumkan mengenai kejadian.

Pemandu Toyota Vios berusia 29 tahun sudah dipanggil memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 10:33 AM