Rizanizam Abdul Hamid


MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail disifatkan ‘buta’ terhadap isu caj parkir oleh Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) yang dibangkitkan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran berkata, kenyataan Balas berhubung caj parkir oleh Wan Rosdy yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang itu jelas tidak mendengar keluhan rakyat.

Menurutnya, kenyataan beliau bahawa caj parkir hanya membabitan kawasan tumpuan pelancong iaitu di Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm adalah tidak masuk akal dan tidak boleh diterima penduduk Cameron Highlands.

“Daerah Cameron Highlands terdiri daripada lapan kawasan pendudukan yang utama iaitu Kampung Raja seramai 2,103 orang, Kuala Terla (1,622 orang), Tringkap (1,334 orang), Brinchang (2,644 orang), Tanah Rata (3,127 orang), Habu (856 orang), Ringlet (2,323 orang) dan Lembah Bertam (2,037 orang).

“Tanah rata adalah pusat pentadbiran Cameron Highlands manakala Brinchang adalah pusat perniagaan utama menjadikan ia adalah antara dua kawasan penduduk terbesar di sini.

“Jadi bagaimanakah Wan Rosdy mengatakan pengutipan bayaran parkir tujuh hari seminggu itu tidak akan menjejaskan penduduk Cameron Highlands, sedangkan mereka banyak berurusan di tempat ini untuk menjalankan aktiviti harian,” katanya pada sidang media di Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Fuziah Salleh.

Rabu lalu, media melaporkan Wan Rosdy menjelaskan, MDCH ada menawarkan diskaun 25 peratus kepada mereka yang membeli kupon caj parkir untuk tempoh lebih dari sebulan susulan dakwaan mengatakan caj tempat letak kereta bulanan RM80 yang mahal.

Mengulas lanjut, Manogaran berkata, diskaun 25 peratus itu hanya untuk pas yang ditawarkan adalah untuk pembayaran caj parkir dengan tempoh 12 bulan sahaja, iaitu berjumlah RM720 dan bukan untuk tempoh yang lebih pendek.

“Bayaran bulanan di MDCH sebanyak RM80 sememangnya adalah lebih mahal daripada Daerah Temerloh (RM50) dan Daerah Kuantan (RM52) dan adakah beliau rasa ianya adil untuk penduduk Cameron Highlands?” soalnya lagi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 4:01 PM
    M Manogaran beramah mesra dengan orang ramai ketika tinjauan di Tanah Rata. FOTO Aizuddin Saad