KENDERAAN suspek yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


LELAKI yang berada di bawah pengaruh alkohol ditahan polis sebaik melarikan diri selepas melanggar lari sebuah kereta di Bandar Baru Nilai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, dalam kejadian jam 11.15 malam di Jalan Persiaran Pusat Bandar berhampiran sebuah pasar raya itu, suspek berusia 36 tahun memandu dalam keadaan melulu.

Katanya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek merempuh belakang Nissan Almera.

“Suspek melarikan diri sejauh lima kilometer sehingga ke Pajam.

“Sepasukan anggota polis yang kebetulan berada di lokasi bertindak mengejarnya sebelum dia berjaya dicekup,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, hasil ujian mendapati 250 miligram alkohol berada dalam darah lelaki berkenaan.

“Suspek yang menetap di Taman Kepong, Kuala Lumpur dijamin oleh seorang ahli keluarga dan akan dipanggil semula untuk pertuduhan di mahkamah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Nissan Almera iaitu seorang lelaki 40-an tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 12:08 PM