Azrul Naim maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah MPV. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


“SEMALAM arwah nampak riang dan seronok kerana berjaya menamatkan Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 1/2019 yang berlangsung selama tiga hari di Hutan Simpan Ulu Paip, di Kulim.

“Kursus itu berakhir jam 3 petang dan dia tak sabar untuk pulang bertemu ibu bapanya di rumah mereka di Kampung Baru Jana, Taiping di Perak namun tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bukit Merah, Perak,” kata Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim/Bandar Baharu, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini.

Mangsa, Azrul Naim Noh, 19, yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke hospital berhampiran.

Menurut Mohd Fadhil, mangsa yang masih menuntut di Politeknik Kulim baru menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim sejak dua bulan lalu dan seorang yang periang, rajin serta patuh dengan arahan yang diberikan.

Katanya, arwah adalah antara 100 peserta yang wajib menyertai kursus latihan asas itu yang diadakan bermula 17 hingga 19 Januari sebelum dilantik sebagai anggota APM.

“Saya difahamkan arwah terbabit dalam kemalangan itu pada jam 7 malam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sejurus kursus itu selesai jam 3 petang.

“Kami seluruh anggota APM Kulim/Bandar Baharu dan rakan-rakannya yang menyertai kursus itu merasa amat sedih dengan kejadian yang menimpa arwah dan moga rohnya tenang di sana,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, hasrat Allahyarham untuk menjadi anggota APM juga tidak kesampaian apabila dia pergi dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 8:20 PM