GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM500,000.

ADUN berusia 54 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Terengganu kira-kira jam 5 petang tadi ketika memberi keterangan untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek dikatakan mengemukakan tuntutan berjumlah RM500,000 pada Mei tahun lalu kepada Pejabat Daerah dan Tanah di sebuah daerah di Terengganu bagi perbelanjaan untuk 32 program sedangkan program itu dipercayai tidak dilaksanakan.

Sebelum ini, seorang pegawai daerah berusia 59 tahun dan pengerusi majlis belia berusia 38 tahun yang ditahan pada 13 Januari dan 8 Januari lalu direman bagi membantu siasatan kes sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Katanya, pihaknya akan membuat pemohonan reman di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 8:27 PM