Mohd Khidir Zakaria
cnews@nstp.com.my


DUA puluh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk seorang tekong yang menguruskan perjalanan pulang kumpulan itu melalui laluan haram, ditahan di sebuah hotel bajet di Batu 8, Teluk Kemang, Port Dickson semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam operasi jam 9.30 pagi itu, polis menahan empat warga Indonesia di tempat letak kereta hotel itu kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Hasil siasatan, polis mendapati salah seorang daripada mereka adalah tekong berusia 38 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan manusia.

“Berikutan itu, polis menyerbu tiga bilik hotel berkenaan pada jam 1.30 tengah hari sebelum menemui 16 PATI warga Indonesia termasuk lima wanita yang berusia antara 18 hingga 50 tahun,” katanya hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati, tekong terbabit mengenakan bayaran RM950 bagi setiap PATI yang mahu menggunakan khidmatnya.

Katanya, polis merampas sebuah kereta digunakan tekong itu, dua telefon bimbit dan wang tunai RM3,753 miliknya selain 19 pasport PATI yang lain.

Aidi Sham berkata, tekong itu disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, PATI lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tidak mempunyai dokumen sah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 9:45 PM