STATUS yang dimuat naik untuk memulakan 'serangan' ke atas akaun FB StandWithUs sehingga ia hilang atau ditutup sementara.
HM Digital
am@hmetro.com.my


JANGAN ‘main-main’ dengan netizen Malaysia, sekali mereka 'serang', habis disekat IP, hilang atau tutup sementara akaun Facebook (FB).

Itu yang berlaku terhadap akaun FB, StandWithUs yang melaporkan mengenai perkembangan Israel dalam pelbagai aspek seperti berita semasa, politik sekali gus diibaratkan 'lidah' orang Israel.

Tindakan memuat naik status berbaur tidak puas hati berikutan pendirian Malaysia untuk tidak membenarkan atlet paralimpik Israel masuk ke negara ini dengan meletakkan gambar berserta ayat 'Ín Malaysia, Israeli athletes are not welcome... Hamas terrorists are' mengundang padah buat mereka.

Status yang dimuat naik pada Khamis lalu itu dikesan oleh beberapa pemilik akaun FB rakyat Malaysia sebelum dikongsi dan bermulalah 'serangan' terhadap akaun berkenaan.

Antara komen terbanyak dalam status berkenaan adalah:

'Israel blocked sea, air and land to Gaza, bombing schools and hospitals : never mind

Malaysia blocked Israel's paralympic : discrimination

Damn are you serious?? How hypocrisy you are..

Selain komen, netizen turut melaporkan kepada pengurusan FB.

'Kuasa membawang' netizen Malaysia akhirnya membawa kepada carian terhadap akaun yang mempunyai lebih sejuta pengikut, hari ini mendapati ia sudah ‘hilang’, IP Malaysia disekat masuk atau ditutup sementara waktu.

Ia sekali gus mengundang reaksi daripada netizen, antaranya 'Dah bawang dah report dah, tgk2 page nya hilang dah', 'Baru cek.. dah bungkus.

Terima kasih Bawang Brigade & sesiapa yang terlibat.Hahaha', 'Ape jdi ngan page diorang? Xleh bukak' dan 'Link pun dah tk boleh bukak dah'.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 10 Januari lalu menegaskan, Putrajaya tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Malah, kata Dr Mahathir, Malaysia juga bersedia jika penganjur menarik balik hak penganjuran kejohanan itu jika mereka tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:02 PM