GAMBAR hiasan
BERNAMA

PEMANDU lori ditahan kerana menampar seorang doktor yang enggan memberikan cuti sakit kepada isterinya dalam kejadian di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang, Georgetown, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, isteri pemandu lori berkenaan berusia 30-an mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan hospital terbabit.

“Doktor lelaki berusia 29 tahun yang merawat wanita itu tidak memberikan cuti sakit kepada pesakit berkenaan kerana keadaannya tidak teruk.

“Suami wanita itu bertindak menampar pipi kiri doktor berkenaan berikutan berang isterinya tidak diberikan cuti sakit sebelum dia melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, doktor berkenaan membuat laporan polis dan pihaknya berjaya menahan suspek berusia 38 tahun itu di Datuk Keramat, Georgetown, kira-kira jam 2.22 pagi.

Katanya, siasatan mendapati lelaki yang mempunyai dua rekod jenayah itu turut positif dadah dan dia direman untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:36 PM