Rakaman dashcam sebelum Toyota Vios merempuh SUV putih yang kemudiannya tercampak ke dalam laut.
BERNAMA

POLIS percaya Toyota Vios dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai semalam sehingga menyebabkan SUV itu terhumban ke dalam laut dipandu dalam kelajuan maksimum.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, ia berikutan mereka tidak dapat mengawal kenderaan masing-masing sehingga berlaku kemalangan teruk dan menyebabkan sebuah daripadanya terhumban ke dalam laut.

Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada dua kenderaan berkenaan sedang berlumba ketika kemalangan tersebut seperti dakwaan orang ramai berdasarkan rakaman kamera video ‘dash cam’ milik seorang pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian.

“Saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan sesiapa yang mempunyai maklumat atau melihat kemalangan tersebut diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kami,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ros Azhan berkata, polis akan merekodkan keterangan pemandu kereta Toyota Vios berusia 21 tahun itu yang kini masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Sama ada lelaki itu akan ditahan atau sebaliknya bergantung pada siasatan yang polis jalankan. Beri ruang kepada polis lengkapkan siasatan,” katanya.​​​​​​​

Beliau berkata polis juga masih menunggu laporan ujian darah pemandu Toyota Vios itu untuk memastikan sama ada lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika kemalangan berkenaan atau tidak.

“Selain laporan ujian darah, pihak polis juga menunggu laporan perubatan lelaki itu daripada doktor merawatnya bagi membantu siasatan kes kemalangan berkenaan,” katanya.

Dalam kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dekat sini awal pagi semalam.

Pemandu kereta yang terhumban ke dalam laut itu adalah seorang lelaki dikenali sebagai Moey Yun Peng berusia 20 tahun yang juga pelajar sebuah kolej swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 10:24 AM