Muhammad Yusri Muzamir

Kepala Batas: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menegaskan parti itu kini diterima baik oleh rakyat khususnya di Kelantan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, ia susulan peningkatan bilangan keahlian AMANAH secara berterusan khususnya di negeri pantai timur itu.

“Bulan lalu saja kita terima 5,000 keahlian dari Kelantan dengan 40 peratus daripada jumlah berkenaan berasal daripada PAS, manakala bakinya daripada pelbagai parti lain.

“Kami (AMANAH) berkembang pesat di Kelantan. Sebelum PRU (pilihan raya umum), keahlian kita dianggarkan antara 80,000 hingga 90,000 tetapi kini jauh melepasi 100,000.

“Kami memacu (parti) dan keahlian bertambah, selain dasar kekal dengan Islam dan bersifat inklusif walaupun baru berusia tiga tahun,” katanya selepas merasmikan Pembukaan Bilik Pameran dan Pusat Servis Honda Impian X 2019 di Pusat Bandar Bertam, semalam.


Mohamad menurunkan tandatangan selepas merasmikan Pusat Servis dan Pameran Honda Impian X di Bertam, Kepala Batas. FOTO Rosli Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 10:26 AM