Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my

Kota Bharu: Kerajaan negeri bersedia hadapi saman difailkan oleh Putrajaya melalui Peguam Negara, Tommy Thomas atas dakwaan menceroboh penempatan Orang Asli.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, kerajaan negeri juga masih menunggu dokumen rasmi berkaitan saman itu daripada pejabat Peguam Negara.

Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri hanya mengetahui tentang saman itu daripada media.

Ahmad berkata, dokumen rasmi mengenai saman itu penting supaya kerajaan negeri dapat mengetahui isi kandungannya dan juga tujuan saman itu difailkan.

“Kerajaan negeri masih menunggu dokumen rasmi daripada pejabat Peguam Negara.

“Perkara ini pertama kali berlaku dan kami bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di kediaman rasminya di sini, semalam.


ZURAIDA mengadakan kunjungan hormat dengan Ahmad di kediaman rasmi MB Kelantan. FOTO Zaman Huri Isa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:02 AM