KHALID (kiri) menunjukkan logo halal di premis ketika lawatannya di Restoran KFC di Kota Bharu, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Premis atau kedai makan bukan Islam yang menggunakan perkataan berunsurkan Islam pada papan tanda di premis masing-masing akan diambil tindakan.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan Khalid Tik berkata, ia termasuk logo atau gambar yang melambangkan Islam sedangkan ia premis bukan Islam.

“Contoh nama kedai yang digunakan adalah Bismillah atau menggunakan logo kubah masjid, sedangkan ia kedai bukan Islam, maka pemiliknya akan diberi amaran terlebih dahulu sebelum diambil tindakan lanjut.

“Kami tidak mahu pemilik premis bukan Islam mempergunakan nama Islam untuk menarik pelanggan menyebabkan orang ramai terpedaya dengan imej luaran kedai,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Bagaimanapun, Khalid memaklumkan penggunaan nama premis berunsurkan Islam adalah berlainan dengan nama kedai yang ditulis dalam tulisan Jawi.

Ia menjadi kemestian semua kedai di negeri ini dipamerkan dengan tulisan Jawi walaupun ia dimiliki bangsa lain.

Sementara itu, Khalid memaklumkan pihaknya juga mengadakan operasi halal bermula 13 Januari lalu sehingga semalam.

“Sebanyak 41 premis dan kedai makan diperiksa membabitkan 32 premis dimiliki pengusaha beragama Islam manakala selebihnya bukan Islam.

“Ia termasuk kedai mamak, kopitiam yang dimiliki pengusaha berbangsa Cina serta restoran yang diusahakan warga Thailand.

“Dalam tempoh seminggu operasi dijalankan, tiada kes berhubung kesalahan mempamerkan teks al-Quran atau apa-apa perkara yang berkait dengan Islam,” katanya.

Khalid berkata, operasi itu turut membabitkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:29 AM