Empat individu membabitkan pasangan suami isteri yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau dalam Ops Cegah semalam. FOTO Recqueal Raimi.
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


SUAMI isteri antara empat individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Cegah di beberapa kampung, di sini, semalam.

Ketua Pegawai AADK Ranau, Hazrie Attin berkata, tangkapan membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 30 tahun hingga 36 tahun itu dijalankan dalam serbuan sekitar 9 hingga 11 malam.

Katanya, berikutan aduan awam berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah pihaknya menjalankan risikan selama seminggu sebelum melakukan serbuan di kawasan berkenaan.

“Tangkapan pertama membabitkan pasangan suami isteri itu. Pada awalnya, wanita (suspek) itu menafikan mengambil dadah namun selepas suaminya mengaku, wanita berkenaan mengaku serta-merta.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah bagaimanapun tidak menemui peralatan yang digunakan untuk menagih dan disyaki ia sudah dibuang,” katanya.

Menurutnya, tangkapan kedua membabitkan seorang suspek di sebuah rumah dan seorang lagi di sebuah bengkel kenderaan.

“Semua individu yang ditahan didapati positif syabu selepas ujian saringan awal air kencing dilakukan,” katanya.

Hazrie berkata, tiga lelaki disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 manakala wanita berkenaan diberikan jaminan pegawai dan perlu melaporkan diri di pejabat AADK Daerah Ranau sehingga sebutan kes di mahkamah.

Terdahulu, Hazrie berkata, pihak AADK Ranau akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah di daerah ini.

“Orang awam mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menghubungi AADK Ranau di talian 088-877 866 atau Pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:33 AM