MUHAMMAD Syukur Khamis, 14, (tengah) bergambar bersama peminatnya pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Adik Syukur Khamis. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA bukan sombong, tetapi waktu yang ditetapkan untuk berjumpa dengan orang ramai dihadkan keluarga kerana bimbang saya tidak cukup rehat selain pelajaran terabai,” kata Muhammad Syukur Khamis, 14, remaja yang foto aksi mesra dia dengan kerbau yang diternak bapanya, Khamis Jusoh, 63, tular di media sosial.

Dia ditemui pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Adik Syukur Khamis di Restoran Martion di Kuala Terengganu, malam tadi.

Syukur berkata, dia langsung tidak berasa terganggu dengan kehadiran orang ramai di rumah dan kandang ternakan kerbau bapanya itu setiap hari, malah berasa gembira apabila dihargai masyarakat termasuk pengunjung dari luar.

“Jika diikutkan saya ingin melayan semua pengunjung yang datang untuk bergambar dan melihat keletah saya bermain dengan ternakan ayah, tetapi kerana kekangan waktu, hasrat pengunjung itu tidak semua boleh dipenuhi.

“Saya perlu membahagikan masa dengan sebaik mungkin kerana saya masih bersekolah, hanya waktu petang saya diizinkan keluarga untuk keluar ke kandang bertemu dengan pengunjung yang ingin bergambar dan berjumpa dengan saya.

“Walaupun lebih 100 pengunjung yang datang ke rumah dan kandang kerbau pada setiap hari untuk bergambar, saya tetap melayan mereka dengan baik kerana menghargai kesungguhan mereka yang datang untuk berjumpa dengan saya, ” katanya.

Tambahnya, biarpun dia sudah dikenali dan menjadi tumpuan ramai, ia bukan tiket untuk mengabaikan pelajaran justeru bersekolah seperti biasa pada setiap hari.

“Sehingga kini pelajaran saya tidak terganggu kerana keluarga sentiasa memantau dan mengawal aktiviti saya pada setiap hari, biarpun sudah dikenali ramai, pelajaran paling penting kerana ia membabitkan masa depan saya,” katanya.

Sementara itu abangnya, Muhammad Alias Khamis, 29, berkata, lebih 100 pengunjung yang datang ke rumah dan kandangnya pada setiap hari dan lebih 200 pengunjung pada hari Jumaat dan Sabtu kerana ingin berjumpa dengan adiknya itu.

“Kami bukan sengaja menghadkan masa seperti itu tetapi simpati dengan Syukur kerana terlalu ramai yang ingin menemuinya menyebabkan Syukur tidak mempunyai waktu rehat dan dibimbangi pelajarannya terabai.

“Kami sekeluarga tumpang bangga apabila Syukur mempunyai ramai peminat yang sanggup datang daripada jauh untuk berjumpa dan melihat sendiri kehidupan Syukur bersama kerbau yang diternak bapa tetapi aktiviti itu perlu dikawal supaya syukur mempunyai masa untuk belajar.

“Keluarga tetapkan waktu berjumpa Syukur pada jam 6 petang hingga 7 petang pada setiap hari, Syukur akan ke kandang kerbau bapa untuk melayan pengunjung. Walaupun pengunjung datang seawal 4.30 petang, mereka perlu bersabar dan menunggu,” katanya.

Menurutnya, sejak foto Syukur menjadi tular di media sosial, Syukur juga menerima banyak undangan termasuk daripada televisyen berbayar, namun terpaksa ditolak kerana faktor masa yang terhad.

“Terbaru Syukur baru sahaja selesai menjayakan penggambaran pendek di kadang kerbau bapa bersama Ustak Mat Ipang yang juga pernah tular di media sosial pada 2016,” katanya.

Pada majlis itu, Syukur menerima tajaan gunting rambut selama setahun oleh The Groomerz Barbershop, pakej penginapan TY Hotel Kuala Terengganu dan sumbangan wang tunai yang diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman yang mewakili Ahmad Samsuri.

Media sebelum ini pernah melaporkan kisah pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu mula dikenali ramai selepas foto aksi mesra dia dengan kerbau yang diternak ayahnya, Khamis Jusoh, 63, tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:57 AM