Kon Yeow (kanan) menyarung vest untuk penunggang motosikal selepas pelancaran Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina peringkat DUN Bagan Jermal, Butterworth. FOTO Rosli Ahmad
Muhammad Yusri Muzamir


PIHAK pengurusan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah digesa mengkaji semula spesifikasi penghadang jalan raya bagi mengelak kejadian kenderaan terhumban ke dalam laut daripada berulang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tindakan itu bagi menentukan spesifikasi sedia ada mampu untuk mengelak kejadian sedemikian atau hanya muncul sebagai benteng keselamatan bagi kemalangan kecil dan sederhana.

Sehubungan itu, katanya, keputusan sama ada terdapat keperluan menaikkan ketinggian penghadang itu hanya akan dimuktamadkan selepas kajian semula bagi perkara itu dijalankan pihak berkenaan.

"Ini (kenderaan terhumban ke dalam laut) kali kedua kejadian sedemikian berlaku di Pulau Pinang (membabitkan kereta) dan kita tak mahu ia terus berulang pada masa hadapan.

"Penghadang sedia ada mungkin berupaya menahan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan biasa daripada terhumban ke dalam laut dan bukannya kejadian impak tinggi seperti semalam.

"Dalam kejadian semalam, kita dapat lihat kecuaian pemandu meragut nyawa pengguna jalan raya lain. Justeru, semua pemandu dinasihat supaya mengambil berat tentang faktor keselamatan, bukan hanya diri sendiri tetapi pengguna lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2019 dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang di Butterworth, hari ini.

Turut hadir, EXCO Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee; Pengarah JKJR Pulau Pinang, N M Thurkathevi dan Yang Dipertua Majlis Daerah Seberang Perai (MPSP), Datuk Rozali Mohamud.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi semalam, kenderaan utiliti sukan (SUV) putih itu terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta Toyota Vios, ketika dalam perjalanan dari Georgetown menghala ke Seberang Perai.

Pada Oktober 2015, Mohammad Noor Firdaus Yahya, 28, cedera ringan apabila badannya terbenam dalam lumpur selepas motosikal ditunggangnya terhumban dan bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 1.4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Georgetown, kira-kira jam 9.30 pagi.

Pada November 2012 lalu, seorang kerani akaun, mendiang Tan Lean Loon maut selepas kenderaan dipandunya merempuh tembok dan terjunam ke dalam laut di Kilometer 7.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Georgetown, kira-kira jam 3.30 pagi.

Kon Yeow berkata, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), peningkatan 763 kes kemalangan jalan raya membabitkan angka keseluruhan sebanyak 43,700 kes sepanjang tahun lalu, berbanding 42,244 kes pada 2016, direkodkan berlaku di negeri itu.

"Bilangan kematian mencatatkan penurunan 10 kes membabitkan jumlah keseluruhan 401 kes sepanjang tahun lalu, berbanding 411 kes pada 2016 dengan 60 peratus daripadanya adalah penunggang motosikal.

"Bilangan kes kemalangan jalan raya yang direkodkan berlaku di Pulau Pinang ini membimbangkan apabila kita menyumbang peratusan tinggi daripada jumlah keseluruhan lebih 4,000 kejadian sedemikian yang berlaku di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 12:32 PM