NORATIKAH (kanan), Wan Faridatul (kiri) dan Nurul Nasyura (dua dari kiri) bersama produk jem pegaga dan epal hijau yang dihasilkan di POLISAS. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Tiga pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) menghasilkan jem diperbuat daripada pegaga dan epal hijau yang mampu membantu menurunkan tekanan darah secara berperingkat.

Pelajar Diploma Teknologi Makanan itu terdiri daripada Noratikah Abdul Halim, Nurul Nasyura Yusof dan Wan Faridatul Amirah Rozali yang menghasilkan inovasi berkenaan selepas melakukan kajian hampir setahun.

Noratikah berkata, mereka mendapat idea itu daripada ibunya, Norhasimah Othman yang memberitahu khasiat pegaga untuk kesihatan sebelum membawa cadangan itu kepada pensyarahnya.

Katanya, pegaga atau nama saintifiknya Centella Asiatica adalah sejenis tumbuhan terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu kerana khasiatnya iaitu kandungan nutrisi tinggi, vitamin C dan A, zat besi serta mineral.

“Kajian kami mendapati ia mampu membantu menurunkan tekanan darah selain melambatkan proses penuaan dan menyerikan wajah terutama membabitkan golongan wanita.

“Kajian dilakukan turut mendapati epal hijau dapat menurunkan kadar kolesterol dalam badan,” katanya kepada Harian Metro di sini, baru-baru ini.

Katanya, gabungan pegaga dan epal hijau itu mampu membantu orang ramai menjaga kesihatan.

“Kami harap produk jem pegaga dan epal hijau ini dapat dikomersialkan syarikat tempatan, kami sedia bekerjasama bagi mencapai hasrat supaya masyarakat dapat menikmati makanan berkhasiat dalam kehidupan seharian.

“Kita perlu berbangga dengan produk tempatan yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga dijual pada harga berpatutan,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar penyelidikan makanan.

Menerusi inovasi berkenaan, Noratikah dan dua rakannya berjaya menduduki tempat kedua pada Persidangan Pendidikan, Penyelidikan, Inovasi dan Keusahawanan (NERIEC) peringkat kebangsaan di POLISAS pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 1:01 PM