LELAKI Rohingya cedera di muka dibelasah dua lelaki. FOTO Rosli Ilham


HANYA kerana tidak memberi sebatang rokok, seorang lelaki warga Rohingya cedera dibelasah dua lelaki dalam kejadian di Kampung Alur Tembesu, Dungun, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa berusia 20 tahun cedera di kepala, badan dan jari akibat dipukul suspek dengan sebatang besi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa dari kediamannya berjalan ke sebuah kedai runcit sebelum dihampiri dua suspek berusia 20-an dan 30-an yang menaiki sebuah motosikal.

"Seorang daripada suspek kemudian meminta sebatang rokok daripada mangsa, bagaimanapun mangsa mendakwa dia tidak merokok.

"Kedua-dua suspek itu kemudiannya bertindak memukul mangsa menyebabkannya cedera dan berlumuran darah di kepala," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera meminta bantuan sebelum orang awam menghantarnya ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan.

"Polis percaya kedua-dua suspek ada kaitan dengan kes yang sama membabitkan seorang warga asing pada Jumaat lalu.

"Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 1:16 PM