RAZILAH Abdul Rahman, tidak melepaskan peluang menambah pendapatan sempena Tahun Baru Cina dengan menjual pokok hiasan Lucky Bamboo yang dihiasi sendiri. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my

PENJUAL sayur di Pasar Awam Johor Jaya, Johor Bahru, Razilah Abdul Rahman, tidak melepaskan peluang menambah pendapatan sempena Tahun Baru Cina dengan menjual pokok hiasan Lucky Bamboo yang dihiasi sendiri.

Razilah berkata, keunikan pokok hiasan dijual itu adalah ia menerima sentuhan gubahan mengikut kreativitinya.

Menurutnya, perkara itu menerima perhatian pengunjung pasar awam berkenaan yang turut memberi sambutan kepada pokok hiasannya.

Berkongsi berkaitan kisahnya menceburi aktiviti penjualan pokok hiasan itu sempena perayaan berkenaan, Razilah berkata ia bermula daripada mimpi.

“Pada 10 tahun lalu, ketika musim Tahun Baru Cina perniagaan saya merosot teruk hingga mengalami masalah namun saya tidak putus berdoa supaya Allah menunjukkan jalan dan cara bagi saya menambah pendapatan.

“Tidak sangka saya bermimpi pokok Lucky Bamboo yang bertukar keemasan dan saya menganggapnya sebagai suatu idea dari Ilahi yang memberi saya peluang menambah pendapatan dengan menjual pokok hiasan itu.

“Saya berusaha lebih dengan menghias dan menggubah pokok berkenaan dan tidak sangka ia menerima sambutan di luar jangkaan,” katanya yang beroperasi di pasar awam itu sejak 20 tahun lalu.

Razilah yang turut memiliki tujuh cahaya mata dan 11 cucu berkata, kebiasaannya dia mengambil masa setengah jam hingga sejam bagi menghias pokok berkenaan.

Menurutnya, pokok hiasan berkenaan dijual dengan harga RM40 hingga lebih RM200.

“Ia diikat dengan riben merah dan dianggap menambah lagi Ong atau tuah pemilik Lucky Bamboo dan lebih banyak hiasan, ia lebih mahal.

“Ia juga sesuai dijadikan sebagai hadiah Tahun Baru Cina atau sekadar hiasan di rumah,” katanya.

Razilah berkata, bekalan pokok hiasan itu kebiasaannya didapatkan daripada kebun bunga.

“Sejak beberapa tahun lalu saya memang bercadang untuk berhenti menjual lagi Lucky Bamboo namun atas permintaan pelanggan, saya meneruskannya.

“Ada yang menjangka saya berdarah kacukan Tionghua kerana menjual pokok hiasan ini namun mereka berasa pelik apabila mengetahui saya bukan keturunan Cina dan belajar menghiasi pokok dengan sendiri.

“Saya yakin rezeki bergantung kepada daya usaha masing-masing iaitu sekiranya kita rajin, tidak mustahil untuk tambah pendapatan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 1:49 PM