KHAIRY. FOTO Abdullah Yusof
KHAIRY. FOTO Abdullah Yusof


PEMBANGKANG tidak dapat menerima kenyataan mengenai peningkatan kutipan cukai langsung disebabkan pendekatan berkesan diperkenalkan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai peningkatan kutipan cukai langsung kerana dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai kisah dongeng.

Dakwanya, tiada langsung keajaiban dibuat Guan Eng atau kerajaan PH, sebaliknya peningkatan itu kerana faktor kenaikan harga minyak dunia.

“Lim Guan Eng perlu hentikan segera propaganda murahan beliau yang dibuat untuk menutup kelemahan pengurusan ekonomi di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Harga barang tak turun, puluhan ribu anak muda masih menganggur, gaji tak naik, pekebun kecil mengeluh, peniaga mengadu aktiviti ekonomi tidak rancak.

“Itu patut menjadi keutamaan kerajaan PH. Bukan ‘political point scoring’ (pemarkahan mata politik) murahan,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

Guan Eng semalam dilaporkan berkata, prestasi kutipan kasar cukai langsung negara bagi 2018 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkat 11.13 peratus kepada RM137.035 bilion berbanding 2017.

Beliau dipetik berkata, pencapaian itu mencipta satu sejarah baharu dalam kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai langsung direkodkan pada 2014 iaitu RM133.70 bilion.

Guan Eng dilaporkan berkata, peningkatan hasil itu selain daripada mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang masih menggalakkan pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 5:17 PM