Skip this ad x
SHAHRUDIN (dua dari kiri) menunjukkan kenderaan pacuan empat roda yang dicuri selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau. FOTO Ihsan Polis
Norasikin Daineh


HANYA RM1,000 untuk sebuah pacuan empat roda.

Itu taktik dua lelaki memperdaya pembeli sebelum ditahan polis selepas didapati terbabit dalam kegiatan curi kenderaan di Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, dengan tertangkapnya dua lelaki itu polis berjaya menyelesaikan tiga kes curi kenderaan di daerah itu.

"Suspek berusia 20 tahun hingga 30-an itu ditahan pada Oktober dan Disember lalu di sekitar daerah ini serta hasil siasatan mendapati seorang suspek terbabit mencuri kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang dilaporkan hilang pada Oktober lalu.

"Polis juga turut menahan seorang lelaki tempatan yang membeli kenderaan itu daripada suspek dengan harga RM1,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut turut menemui dua kenderaan yang dilaporkan hilang di sekitar daerah itu termasuk Proton Iswara dan Isuzu Invader.

"Kedua-dua kenderaan ini dilaporkan hilang antara September dan Oktober lalu di Jalan Bakiau dan di hadapan sebuah hotel di daerah ini.

"Hasil siasatan juga mendapati dua suspek berkenaan adalah daripada kumpulan yang sama dan hasil saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif syabu," katanya.

Sehubungan itu, semua suspek termasuk pembeli kenderaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dalam sidang media itu, Shahrudin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan jualan kenderaan berharga murah dan meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 5:44 PM