Zatul Iffah Zolkiply


REMAJA lelaki menerima 10 jahitan di kepala selepas diserang menggunakan parang dalam kejadian di Seberang Takir, Gong Badak, Kuala Nerus, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku jam 9 malam ketika peniaga berusia 19 tahun itu berada di rumah seorang lelaki dikenali sebelum diserang selepas dikatakan mencuri telefon bimbit teman wanita lelaki itu.

Menurut sumber, mangsa sebelum itu ke sebuah kedai untuk makan bersama beberapa rakan termasuk suspek dan lelaki terbabit kemudian mengajak mangsa ke rumahnya.

Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menerima ajakan suspek dan sebaik tiba di rumahnya, lelaki itu masuk ke dalam manakala mangsa berada di luar.

“Bagaimanapun, suspek keluar dengan membawa parang sebelum memukul kepala mangsa kerana tidak berpuas hati dengan remaja itu yang dikatakan mencuri telefon bimbit teman wanitanya.

“Mangsa menafikan tuduhan suspek dan mengaku membeli telefon jenama Iphone 5S daripada suspek di sebuah rumah kedai di Kampung Batin, Kuala Nerus sebelum ini,” katanya.

Telefon bimbit berkenaan sebenarnya milik teman wanita suspek.

Sumber berkata, mangsa yang cedera di kepala mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan menerima 10 jahitan.

Katanya, mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Gong Badak Sabtu lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 6:16 PM