FOTO Arkib NSTP
Hanneeyzah Bariah Baharin


NELAYAN Terengganu berkemungkinan menerima bantuan one-off bernilai RM500 daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan keperluan itu berikutan keluhan golongan berkenaan yang tidak dapat ke laut menangkap ikan.

Katanya, perkara itu juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat EXCO untuk tindakan lanjut.

“Kita faham masalah dihadapi nelayan pada musim tengkujuh apabila mereka tidak dapat ke laut mencari rezeki, sedangkan banyak perbelanjaan keluarga yang perlu dilunaskan.

“Bantuan sara hidup nelayan Kerajaan Persekutuan yang sebelum ini RM300 sudah dikurangkan kepada RM200, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan mereka.

“Justeru, mereka memohon bantuan supaya kerajaan negeri mengurangkan bebanan mereka dan kita ambil maklum perkara ini,” katanya selepas Majlis Pertemuan Bersama Nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Azman berkata, sekiranya kerajaan negeri meluluskan perkara itu, ia akan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta setahun untuk kebajikan kira-kira 10,000 nelayan negeri itu.

“Apapun dari segi dasar kerajaan negeri, memang kebajikan rakyat adalah keutamaan kita. Insya-Allah kita doakan yang terbaik,” katanya.

Kira-kira 50 nelayan hadir pada majlis itu yang turut disertai Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Pengarah LKIM Negeri, Tengku Mohd Anuar dan Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassin Mohamed.

Sementara itu, Azman berkata, isu 12 nelayan tempatan yang ditahan kerana menggunakan pukat tunda dalam Zon Pantai, kurang lima batu nautika di Kampung Mangkuk, Setiu sudah dibawa ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk perhatian.

Katanya, nelayan itu dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan hasil laut kerana musim tengkujuh, sehingga melanggar peraturan ditetapkan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Walaupun kita simpati dengan mereka, kita perlu menghormati undang-undang. Cuma kita minta jasa baik pihak kementerian untuk mengurangkan hukuman,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 6:43 PM