Polis memeriksa penunggang motosikal ketika operasi di Iskandar Puteri, awal pagi tadi. FOTO Ihsan Polis.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS merampas enam motosikal dan sebuah kereta atas pelbagai kesalahan membabitkan lesen serta ubah suai kenderaan, sempena operasi sekitar Iskandar Puteri, Johor Bahru, hari ini.

Operasi Cegah Lumba Haram dan Ops Lejang itu turut mengeluarkan 33 saman ke atas pengguna jalan raya yang melanggar peraturan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menjalankan operasi itu bermula bermula 10 malam semalam hingga 3 pagi dengan menumpu kepada Puteri Harbour dan Lebuh raya Link Kedua.

“Hasil pemeriksaan ke atas 46 kenderaan dan 61 orang, pasukan berjaya menahan enam motosikal dan sebuah kereta atas pelbagai kesalahan berkaitan lesen dan ubahsuai struktur kenderaan.

“Sebanyak 33 saman juga dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan lain,” katanya, hari ini.

Dzulkhairi berkata, semua kenderaan yang disita kemudian dibawa ke Balai Trafik Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi itu mencegah lumba haram dan kes kecurian kenderaan, membabitkan dua pegawai dan 15 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

“Kita turut dibantu empat anggota Polis Bantuan Nusajaya Five ‘O’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 7:01 PM