Mayat mangsa ditemui di kawasan jalan besar. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Amanina Suhaini


MAYAT lelaki lengkap berpakaian ditemui di Jalan Besar FELDA Tenggaroh, Mersing hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Ahmad Hazizi Ismail, 40, ditemui di kawasan jalan besar berkenaan.

“Mangsa yang juga lelaki tempatan dipercayai mangsa kes kemalangan langgar lari.

“Mangsa ditemui anggota polis bantuan FELDA Tenggaroh, dekat sini jam 4 petang dan mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Cyril berkata, mayat mangsa yang beralamat di FELDA Tenggaroh 5 dibawa ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat.

“Tiada saksi nampak bila (berapa lama mayat berada di kawasan itu) namun keadaan mayat mangsa dianggarkan tidak sampai sehari.

“Orang ramai atau saksi kejadian kes langgar lari ini diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 10:09 PM