Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


EMPAT parah termasuk seorang kanak-kanak perempuan selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Chinchang, Jalan Sepang Salak Lama, Sepang hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.30 petang.

“Seramai 10 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA serta BBP Nilai dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati kemalangan berlaku membabitkan van pekerja bertembung dengan kereta Proton Wira,” katanya hari ini.

Norizham berkata, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan enam mangsa yang tersepit di dalam dua kenderaan berkenaan.

“Empat daripada enam mangsa parah iaitu penumpang lelaki di dalam van pekerja terbabit manakala tiga lagi mangsa adalah pemandu serta penumpang Proton Wira termasuk seorang kanak-kanak perempuan.

“Dua lagi remaja perempuan yang turut tersepit dalam kemalangan itu dilaporkan hanya mengalami cedera ringan. Semua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 10:53 PM