HIASAN.
Farah Suhaidah Othman


LELAKI ditemui lemas selepas dipercayai terjun ke dalam lombong akibat ketakutan kerana terbabit kemalangan di Lorong Cikgu Suri Kampung Bakap Baru, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, malam tadi.

Difahamkan, mangsa, Mohd Adha Mohd Arif, 43, melarikan diri ke dalam lombong berdekatan selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terbabas ke jalan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal lain.

Mayatnya ditemui oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lombong berkenaan pada 9 malam.

Seorang lagi penunggang motosikal berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pekerja kilang yang terbabit dalam kemalangan itu, parah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada 8 malam sebelum anggota polis begegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota yang tiba dimaklumkan oleh orang awam terdapat kemalangan membabitkan dua motosikal sebelum mendapati seorang penunggang motosikal sudah masuk ke dalam lombong akibat ketakutan dan disyaki lemas.

“Bomba dipanggil untuk mengesan mangsa sebelum mayatnya ditemui dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.

“Seorang lagi mangsa kemalangan itu turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan selepas patah kaki kiri,” katanya dalam kenyataannya di Batu Gajah, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, hasil percakapan keluarga mangsa mendapati mangsa pernah mendapatkan rawatan di Hospital Tanjung Rambutan pada 2014.

Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan 10 pagi hari ini dan setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd Jamaluddin Mat Yusop berkata, pihaknya menemui mayat mangsa dalam lombong sedalam kira-kira tiga meter sebelum mengangkat mayat mangsa ke tebing.

Operasi mencari dan menyelamat tamat pada 10.15 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 7:47 AM