ANTARA barangan yang ditemui susulan penahanan tiga suspek di sekitar Beaufort. FOTO Ihsan Polis
Junaidi Ladjana


PECAH rumah untuk beli dadah dan belanja harian. Itu pengakuan tiga lelaki disyaki aktif dalam kegiatan pecah rumah yang ditahan sekitar Beaufort, semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, dua suspek berusia 33 dan 37 tahun ditahan kelmarin, kerana terbabit pecah rumah di Kampung Bakalau, antara 17 hingga 25 Disember lalu ketika pemiliknya bercuti ke Selangor.

"Antara barang yang hilang ialah duit tabung berjumlah RM1,000, dua komputer riba, dua telefon bimbit serta satu unit permainan video PS2 dengan jumlah kerugian hampir RM5,000," katanya, hari ini.

Azmir berkata, suspek ketiga berusia 47 tahun ditahan semalam kerana terbabit kes pecah rumah di Kampung Menangah, Weston, antara 13 hingga 17 Disember tahun lalu.

"Barang yang hilang ialah 12 telefon bimbit, 30 pukat, satu komputer riba dan wang tunai RM1,300 manakala kerugian keseluruhan dianggarkan RM9,000. Ketika kejadian pemilik rumah tiada kerana sedang bercuti bersama keluarga," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan ketiga-tiga suspek mengaku pecah rumah dan hasil barangan curi yang dijual digunakan untuk membeli syabu serta belanja harian.

"Ketiga-tiga suspek ditahan dan siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 11:30 AM