FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


SURI RUMAH menangis teresak-esak apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 atas pertuduhan mencuri pelbagai barangan daripada sebuah pasar raya, Jumaat lalu.

Majistret Norasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Eng Siu Khim, 42, selepas wanita itu mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, ibu tiga anak itu didakwa mencuri pelbagai barangan termasuk minyak zaitun dan makanan sejuk beku yang keseluruhannya berjumlah RM145.37 di Aeon Midvalley Megamall, Kuala Lumpur, pada jam 2 petang, 18 Januari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adila Nordin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, wanita itu yang menangis sepanjang prosiding kes dijalankan, merayu mahkamah memberikan hukuman yang ringan kepadanya atas alasan dia sudah insaf.

“Saya dah menyesal atas perbuatan saya. Saya mohon mahkamah beri peluang untuk berubah kerana saya ingin mulakan hidup baru,” katanya.

Nur Farah Adila bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap oleh pengawal keselamatan selepas alat penggera pasar raya itu berbunyi apabila dia cuba keluar dari premis berkenaan bersama barang itu tanpa membuat pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 3:38 PM