BERNAMA

Kuala Lumpur: Khamis, 24 Januari ini menyaksikan pemilihan Yang di-Pertuan Agong buat kali ke-16 sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lebih 61 tahun lalu.

Proses pemilihan ini adalah kesinambungan kepada sistem kerajaan beraja berasaskan Perlembagaan diamalkan di negara ini dengan raja atau sultan bergelar Yang di-Pertuan Agong bersemayam selama lima tahun.

Kekosongan jawatan Ketua Utama Negara itu berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6 Januari lalu. Sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah institusi beraja di negara ini.

Bagaimanapun, kematangan institusi beraja menghadapi situasi ini cukup terserlah hingga ia dapat ditangani dengan cara yang cukup harmoni tanpa krisis.

Tatacara pemilihan Agong

Apabila terdapat kekosongan pada jawatan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja akan menjalankan fungsinya sepertimana dalam Perkara 38(6)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Hanya sembilan Raja Melayu yang menjadi ahli Majlis Raja-Raja membuat pemilihan itu pada mesyuarat khas yang ditetapkan.

Cara pemilihan itu dilakukan adalah seperti berikut:

Bahagian Pertama: Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong kecuali Raja itu belum dewasa atau seseorang Raja itu tidak berhasrat dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Seseorang Raja juga tidak layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong sekiranya Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit Raja itu tidak sesuai menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya atau kerana sebab lain.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, Majlis Raja-Raja bertindak menurut budi bicara berhubung peranan memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya.

Berkaitan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.

Jika Raja itu tidak menerima tawaran tersebut, Majlis Raja-Raja akan menawarkan jawatan itu kepada Raja yang negeri berikutnya dalam senarai pemilihan dan seterusnya hingga seorang Raja menerima jawatan tersebut.


ISTANA Negara lambang keunikan sistem beraja berasaskan Perlembangaan yang diamalkan. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Senarai penggiliran

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu , Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Senarai pemilihan tersebut dinyatakan dalam Seksyen 4 yang bermaksud pada pemilihan pusingan pertama senarainya mengikut pengiktirafan keutamaan antara raja sendiri.

Namun, bagi pemilihan pusingan selepas itu, senarai pemilihan mengikut kedudukan negeri di dalam senarai disusun mengikut raja di negeri yang mana, mana-mana raja yang telah menerima jawatan Yang di-Pertuan Agong dipindahkan ke hujung senarai pemilihan.

Shamrahayu menjelaskan, pada Seksyen 4(2)(b), Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan ada dinyatakan “apabila ada sesuatu perubahan Raja sesuatu negeri yang ada dalam senarai ketika itu, negeri itu hendaklah dipindahkan ke hujung senarai itu”.

Tambahnya, peruntukan itu menunjukkan ada kemungkinan bagi Pahang yang baharu saja memasyhurkan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan lalu diletakkan di hujung senarai pemilihan terkini berdasarkan Seksyen 4(2)(b) itu.

“Ada kemungkinan Pahang yang sepatutnya dalam senarai teratas beralih kepada hujung senarai pemilihan kerana perubahan Raja yang berlaku di negeri tersebut. Namun keputusan tertakluk kepada budi bicara Majlis Raja-Raja,” katanya.

Pemilihan secara sulit

Sementara itu, laman web rasmi Majlis Raja-Raja turut mengandungi maklumat prosedur bagaimana pengundian dijalankan.

Sekiranya Raja atau Sultan negeri tersebut berada dalam senarai teratas dan bersetuju untuk dicalonkan, baginda boleh diundi secara sulit oleh Majlis Raja-Raja.

Kertas undi digunakan tidak bernombor dan ditandakan dengan pen serta dakwat sama.

Kemudian kertas undi dimasukkan ke dalam peti dan dimusnahkan sama ada dibakar atau dirincih di hadapan Raja sebaik saja keputusan undian diumumkan.

Raja paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Dalam mesyuarat pemilihan itu, hanya Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja terbabit t dalam proses pemilihan itu.

Majoriti lima undi

Ketika pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membekalkan satu kertas undi pada setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama saja) sesuai atau tidak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Calon mesti mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.

Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun raja itu gagal memperoleh undi majoriti, maka proses pengundian semula dijalankan iaitu dengan mencalonkan nama Raja kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Proses hanya selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas itu, barulah Majlis Raja-Raja mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 4:02 PM