KELIBAT suspek mengangkat tong ikan berwarna putih dan cuba memasukkannya ke dalam kereta dirakam kamera liter tertutup (CCTV) di Pasar Awam Parit Buntar. FOTO ihsan polis.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


CURI ikan di pasar sebelum menjualnya semula.

Itu modus operandi dua lelaki yang mencuri hasil laut itu di Pasar Awam Parit Buntar dan sekitar Pulau Pinang yang kemudian menjual semula ikan curi itu kepada orang ramai bagi mendapatkan wang mudah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kedua-dua suspek ditahan selepas sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dengan kereta Perodua Myvi putih dalam keadaan mencurigakan pada 2.30 pagi Jumaat lalu.

Beliau berkata, anggota polis yang membuat pemantauan melihat pemandu kereta itu turun dari kenderaan itu dan masuk ke kawasan pasar awam terbabit.

“Tidak lama kemudian pemandu itu keluar dari pasar sambil membawa sebuah tong berwarna putih.

“Pihak polis segera mendekati dan menunjukkan kad kuasa kepada pemandu itu yang pada ketika itu berada di bahagian belakang kereta menyebabkan suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.

“Pada masa sama anggota polis turut menahan seorang lagi rakannya yang berada di kerusi penumpang hadapan,” katanya pada sidang media di Parit Buntar, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, polis merampas kereta digunakan suspek yang menggunakan nombor pendaftaran palsu selain satu tong ikan kembung seberat 21.05 kilogram.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek berusia 37 dan 22 tahun itu turut terbabit dalam lima kes kecurian ikan serta tong di pasar sama sepanjang tahun lalu.

“Modus operandi mereka adalah menyasarkan pasar awam sekitar Pulau Pinang dan Parit Buntar dan mencuri ikan diturunkan pembekal di pasar awam pada awal pagi.

“Kemudian kedua-dua suspek yang juga peniaga ikan di Penaga, Pulau Pinang akan menjual semula ikan yang dicuri di tempat mereka (Penaga),” katanya.

Beliau berkata, salah seorang suspek yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 KK.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 4:06 PM