AL SULTAN Abdullah pada sidang media di Bangunan MUIP. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Amin Ridzuan Ishak
cnews@nstp.com.my


“DOAKAN yang terbaik,” titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengenai mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bermesyuarat untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16, Khamis ini.

Titah ringkas itu menarik perhatian kerana baginda dikatakan berpeluang menjadi Yang di-Pertuan Agong berdasarkan sistem penggiliran yang menyaksikan giliran pemerintah dari Pahang selepas Kelantan.

Al Sultan Abdullah yang mengesahkan kehadiran baginda pada mesyuarat di Istana Negara, Kuala Lumpur itu berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang di Pejabat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), di Pekan, hari ini.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu juga akan memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong selain acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Pada 6 Januari lalu, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Al Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu menggantikan ayahandanya, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Perkembangan itu membolehkan Al Sultan Abdullah dilantik sebagai Yang Yang di-Pertuan Agong ke-16 berdasarkan kepada sistem giliran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 5:08 PM