GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang ejen insurans wanita, hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Menurut sumber, pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 44 tahun itu ditahan, kira-kira 12 tengah hari dan seorang lagi pengarah syarikat berusia 51 tahun ditahan sejam kemudian.

Katanya, seorang lagi suspek wanita yang juga ejen insurans berusia 29 tahun ditahan kira-kira jam 2 petang.

Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, ketika hadir memberi keterangan.

“Ketiga-tiga suspek disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.

“Kesemua suspek juga disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek esok di Mahkamah Majistret Putrajaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 5:49 PM