FOTO hiasan Arkib NSTP
FOTO hiasan Arkib NSTP
Petah Wazzan Iskandar


KERAJAAN negeri Kedah sedia menggunakan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara bagi menghapuskan lebih 100 hektar ladang ketum yang dikesan di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan terbabit adalah salah satu langkah drastik bagi menangani masalah berkaitan penyalahgunaan ketum yang dilihat lebih banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat.

“Keputusan ini adalah susulan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bersetuju akta berkaitan dipinda bagi memasukkan kesalahan menanam ketum tanpa kebenaran, namun ia dijangka mengambil sedikit masa sebelum dapat dikuat kuasakan.

“Melihat kekangan perundangan yang menyukarkan penguat kuasaan selama ini, maka cadangan di peringkat negeri adalah menggunakan Kanun Tanah Negara membabitkan syarat pertanian yang merujuk penanaman ketum adalah salah di sisi undang-undang.

“Tindakan yang boleh dilakukan apabila dikuat kuasa adalah memberi dua kali amaran sebelum ladang ketum dihapuskan. Ini menjadi amaran kepada mereka yang terbabit bahawa kerajaan negeri tidak teragak-agak menghapuskan ladang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Membanteras Dadah Kedah di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Mukhriz berkata, tindakan itu selaras dengan peningkatan mendadak daripada segi rampasan daun ketum iaitu 81,028 kilogram (kg) pada 2017 kepada 87,564 kg setakat Ogos tahun lalu.

“Peningkatan paling serius adalah membabitkan rampasan cecair ketum daripada 89,060 liter pada 2017 kepada 233,526 liter setakat Ogos 2018.

“Peningkatan membabitkan penagihan turut membimbangkan dengan rekod sepanjang lima tahun sejak 2014, seramai 13,296 orang termasuk 10,215 adalah belia berusia antara 19 hingga 39 tahun,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan tanah yang didapati dijadikan ladang ketum boleh dirampas, Mukhriz berkata, perkara itu akan dibawa ke dalam Mesyuarat EXCO untuk diputuskan.

“Apabila dilaksanakan kelak, banyak tindakan boleh diambil termasuk merampas tanah tetapi dalam hal ini, kita memberi tumpuan menghapus ladang ketum terlebih dahulu.

“Kami berharap ia akan dilaksanakan secepat mungkin dan akan mengkordinasikan semua pihak berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), polis dan AADK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 8:27 PM