GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Mustakim Ramli


TIADA angin tiada ribut, lelaki mengamuk dan merosakkan kereta kakaknya menggunakan nunchaku (alat mempertahankan diri) di Taman Serai, di Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian 7.40 malam itu, suspek berusia 49 tahun datang ke rumah kakaknya dan secara tiba-tiba mengamuk.

“Kakaknya berusia 60 tahun yang bimbang dengan kelakuan adiknya itu menutup pintu rumah bagi mengelak berlaku pergaduhan antara adik dengan suaminya.

“Tindakan wanita berkenaan menyebabkan suspek merosakkan harta-benda mangsa termasuk kereta jenis Proton Waja, di mana cermin pintu sebelah pemandu pecah selain bonet turut kemek kerana diketuk dengan nunchaku jenis kayu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata susulan itu, mangsa membuat laporan polis dan pihaknya menahan suspek di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada jam 4 petang, hari ini.

“Berdasarkan siasatan awal suspek yang mempunyai rekod jenayah bagi kesalahan dadah dan cubaan membunuh itu tidak mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dibuat selepas prosiding reman dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 9:05 PM