Mohd Hafizee Mohd Arop


KOPERAL tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan mencabul anak kandungnya, bulan lalu.

Tertuduh berusia 30 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan anak kandungnya berusia empat tahun lima bulan di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, Ipoh Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat selain diletakkan di bawah pengawasan polis minimum setahun atau maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Naidatul Athirah memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan kerana tertuduh tinggal serumah dengan mangsa serta ibu mangsa dan bimbang akan berlaku kacau ganggu terhadap saksi-saksi pendakwaan.

Koperal tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan mencabul anak kandungnya. FOTO Muhaizan Yahya

Tertuduh kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa dia tidak melantik peguam kerana yakin tidak bersalah sebelum Julie Lack memintanya mendapatkan nasihat peguam kerana tuduhan dihadapinya serius.

Tertuduh juga memohon mahkamah untuk memberikan jaminan terhadapnya kerana dia masih bertugas sebagai anggota tentera.

Julie Lack kemudiannya bersependapat dengan Naidatul Athirah dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sebelum menetapkan 25 Februari ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 10:57 AM