Skip this ad x
Kamarul Ariffin diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad.
Nur Saliawati Salberi


BAPA lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini atas tuduhan menampar seorang guru Pendidikan Jasmani di Krubong, April tahun lalu.

Kamarul Ariffin Suboh, 44, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai alat perkakasan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Fakharudin Azhar, 27.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di tepi padang di Krubong, kira-kira jam 3 petang, pada 26 April tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM8,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan mempunyai banyak tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 serta menetapkan 6 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, guru Pendidikan Jasmani terbabit dikatakan menegur anak tertuduh yang ketika itu berusia 15 tahun kerana membeli ayam goreng yang dijual di luar kawasan sekolah.

Teguran itu dibuat kerana dikhuatiri akan menjejaskan prestasi ketika perlawanan sukan berlangsung, sebelum mengarahkan anak tertuduh pulang.

Berang dengan tindakan itu, tertuduh kemudian berjumpa dengan guru berkenaan, sebelum didakwa menampar pipi kiri guru lelaki berkenaan sebanyak dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 3:09 PM