Aidi Sham menunjukkan kereta curi yang merempuh anggotanya hingga cedera. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG anggota polis cedera akibat diseret kereta sejauh 20 meter oleh dua lelaki yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Batu 3, Jalan Pantai, Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku 10.30 pagi semalam, menyebabkan anggota berusia 25 tahun itu cedera di bahu dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, ketika kejadian, kedua-dua suspek yang menaiki Proton Iswara cuba membuat pusingan U sebaik menyedari SJR, namun mangsa sempat menahan kereta berkenaan.

“Suspek nekad merempuh mangsa dan mangsa berpaut pada batang pengelap cermin hadapan. Dia diseret kira-kira 20 meter sebelum terjatuh dan cedera di bahu.

“Seorang polis peronda bermotosikal kemudian mengejar kereta suspek sejauh satu kilometer sebelum kenderaan itu terbabas. Pemandunya berusia 39 tahun sempat melarikan diri,” katanya pada sidang media, hari ini.

Aidi Sham berkata, seorang lagi suspek yang duduk di tempat duduk hadapan berusia 42 tahun berjaya ditahan.

“Bagaimanapun, pemandu itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, pagi tadi (hari ini), malah siasatan mendapati kereta digunakan mereka adalah kenderaan curi di Seremban, kelmarin,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek mempunyai tiga ke empat kesalahan lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, mereka direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 5:18 PM