SUSPEK ditahan bersama kabel yang curi. FOTO Ihsan PDRM.
Mohd Sabran Md Sani


POLIS menumpaskan geng curi kabel bersenjatakan parang berikutan penahanan salah seorang daripada lima ahli kumpulan itu dalam serbuan di tepi Jalan Permatang 3, Kempas Baru, Johor Bharu, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian jam 12 tengah hari itu suspek berusia 35 tahun ditahan sepasukan Team Ops Cegah Jenayah (OCJ) Balai Polis Kempas.

Katanya, pihaknya menahan suspek bersama tiga gelung kabel bernilai RM3,500 itu susulan aduan yang diterima membabitkan kejadian samun bersenjatakan parang oleh sekumpulan lelaki.

“Dalam kejadian samun pada jam 3 pagi hari yang sama, mangsa yang bekerja sebagai buruh didatangi lima lelaki menaiki sebuah kereta yang mendakwa mahu melihat jentera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda.

“Secara tiba-tiba salah seorang daripada mereka mengeluarkan parang lalu mengacu senjata ke arah mangsa dan mengambil wayar kabel sebanyak tiga drum sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pengadu yang juga majikan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kempas sebelum gerakan memburu suspek dilancarkan pada jam 12 tengah hari.

Suspek berjaya ditangkap ketika membakar kabel namun empat rakannya berjaya melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Terdahulu kejayaan menahan lelaki terbabit dikongsi Facebook (FB) Polis Daerah Johor Bahru Utara dengan tajuk ‘leka bakar kabel’.

Bahkan dengan memberi gambaran ‘Terkejut Beruk’ Team OCJ membuat pemeriksaan di kawasan berhampiran semak dan berjaya menahan seorang suspek leka membakar kabel, manakala yang lain meloloskan diri.

Mohd Taib berkata, suspek ditahan kerana memiliki kabel yang bukan miliknya dan gagal memberikan keterangan manakala hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod lampau dikehendaki dan tujuh kes narkotik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 5:26 PM