Zuliaty Zulkiffli


SUAMI isteri sanggup mengeluarkan belanja bagi memberi makan hampir 80 kucing yang sudah dianggap seperti ‘anak sendiri’ setiap hari.

Rosli Ismail, 47, dan isterinya, Mariam Roin, 47, yang juga peniaga buah-buahan di pelantar ikan Kubang Rotan, Kuala Kedah, Alor Setar, berkata mereka bangun jam 6 pagi untuk membeli tiga kilogram ikan sebagai hidangan ‘anak’ mereka.

Katanya, sebahagian daripada ikan itu akan direbus untuk diberi kepada 30 anak kucing yang dipelihara di rumah di Alor Janggus, manakala sebahagian lagi dibawa ke tempat berniaga.

“Saya kemudian akan meminta kedai makan berdekatan menggoreng ikan terbabit sebelum ia diberi bersama dua kilogram nasi kepada 30 kucing jalanan di pelantar Kubang Rotan dan 20 kucing jalanan di pelantar Seberang Kota.

“Selain ikan, kami turut memberi susu dan makanan kucing dalam paket yang dibeli di kedai runcit terutama untuk anak-anak kucing yang sentiasa lapar,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Rosli berkata, dia dan isteri mula menjaga kucing jalanan berkenaan sejak dua tahun lalu kerana kasihan melihat nasib haiwan itu.

“Sejak itu saya bertekad memberi semua anak kucing di kawasan pelantar makanan setiap hari, termasuk membawa pulang anak kucing yang sakit.

“Saya tidak boleh tengok anak kucing ini dihalau atau dipukul mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga berasa haiwan itu sudah seperti anak saya,” katanya.

ROSLI dan Mariam memberi makanan kepada kucing jalanan di pelantar ikan Kubang Rotan, Kuala Kedah, Alor Setar. Foto AMRAN HAMID
ROSLI dan Mariam memberi makanan kepada kucing jalanan di pelantar ikan Kubang Rotan, Kuala Kedah, Alor Setar. Foto AMRAN HAMID

Cerita mengenai kisah suami isteri yang memberi makanan kepada kucing jalanan itu ditular di laman sosial sejak kelmarin dan ramai netizen memuji tindakan mereka itu.

Bagi Mariam pula, jika ada rezeki mereka bercadang membuka hotel untuk memudahkan pemilik kucing meletak haiwan peliharaan sekiranya ada tugasan luar daerah.

Katanya, dengan cara itu mereka akan lebih dekat dengan haiwan yang paling manja terbabit dan dapat membantu kucing-kucing berkenaan hidup lebih selesa.

“Kucing paling manja dengan kami adalah kucing hitam yang diberi nama Mael dan apabila dipanggil namanya, ia akan datang malah ramai peniaga cukup mesra dan sayang padanya.

“Saya tidak kisah berapa banyak wang dibelanjakan untuk kucing kerana sepanjang kami memberi makanan kepada haiwan, rezeki kami tidak pernah putus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 5:31 PM
Digital NSTP Subscribe