BURMAA hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Eizairi Shamsudin
Murni Wan Omar


SEPUPU kepada Altantuya Shaariibuu mendakwa pernah ditunjukkan gambar wanita itu bersama dua lelaki yang dikenali sebagai penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan seorang Timbalan Perdana Menteri.

Burmaa Oyunchimeg, 37, mengesahkan gambar itu selepas ditunjukkan oleh peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Burmaa ialah salah seorang saksi dalam kes saman bapa Altantuya, Dr Shaaribu Setev bersama isterinya, Altantsetseg Sanjaa, 68, dan anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal, 21, terhadap Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda serta kerajaan Malaysia.

Menurutnya, ketika itu mereka berdua berada di Mongolia dan Altantuya menunjukkan gambarnya ketika berada di Perancis.

“Saya bertanya Altantuya siapa mereka dan dimaklumkan bahawa seorang adalah Timbalan Perdana Menteri dan seorang lagi adalah ‘Razak’. Dia maklumkan mereka bekerja dan menjalankan perniagaan bersama.

“Saya tanya jika mereka adalah adik-beradik kerana nama sama tetapi dia kata tidak dan mengatakan mereka adalah sahabat baik,” katanya.

Burmaa berkata, sebelum kejadian pembunuhan berlaku, Altantuya ada memaklumkan dia berada di Malaysia bersama Namiraa Gerelmaa (sepupu Altantuya) dan Uuriintuya Gal Ochir (rakan) kerana mahu mengambil duit daripada Abdul Razak.

“Altantuya beritahu dia ada menyediakan perkhidmatan terjemahan bagi urusan perniagaan Abdul Razak di Eropah. Terdapat perjanjian yang dia akan dibayar bagi perkhidmatan itu bagaimanapun Abdul Razak enggan berbuat demikian.

“Altantuya beritahu Abdul Razak enggan berjumpanya dan sudah pelbagai cara dilakukan termasuk pergi ke pejabat dan rumah lelaki itu dan minta saya membantunya. Saya cuba hubungi Abdul Razak dan dia tidak membalasnya,” katanya.

Burmaa berkata, Altantuya juga ada memberitahunya ketika itu ada beberapa individu bekerja dengan Abdul Razak menakutkan dan mengugutnya.

“Dia (Altantuya) berkata tidak takut kerana dia datang bagi mendapatkan haknya. Ketika itu saya beranggapan bahawa Abdul Razak adalah orang yang baik. Hanya selepas datang ke Malaysia, saya mengetahui Altantuya ada membuat laporan polis berhubung perkara ini.

“Saya tahu kehilangan Altantuya pada jam 11 malam pada 19 Oktober 2006. Namiraa hubungi saya yang ketika itu berada di Hong Kong. Mereka bimbang kerana Altantuya bersendirian ke rumah Abdul Razak dan masih belum pulang,” katanya.

Menurutnya, dia tiba di Malaysia pada 22 Oktober 2006 dan terus membuat laporan polis bersama Namiraa dan Uuriintuya.

“Pihak polis ada mengambil laporan tetapi kami tidak berpuas hati kerana ia seolah-olah tidak diambil serius. Saya hubungi dan bertemu dengan Konsul Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia ketika itu, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi.

“Selepas itu kami dimaklumkan bahawa Altantuya dibunuh dan diletupkan. Kami ditunjukkan jam, subang dan cincin dan ia memang milik Altantuya yang diambil dari rumah Koperal Sirul Azhar Umar,” katanya.

Burmaa berkata, bapa Altantuya datang ke Malaysia dengan membawa bersama sami untuk menjalankan upacara keagamaan di tempat kejadian pembunuhan itu.

“Kami semua dibawa ke tempat kejadian oleh pihak polis. Tempat itu adalah kawasan hutan tebal dan kami perlu melalui jalan curam.

“Upacara sembahyang dijalankan oleh sami dan sehelai kain biru diikat pada pokok mengikut tradisi kami. Kami ikatnya pada pokok yang dipanah petir mengikut budaya Mongolia,” katanya.

Terdahulu, Burmaa memberitahu mahkamah bahawa dia pertama kali bertemu dengan Abdul Razak di sebuah hotel di Hong Kong pada November 2004.

“Altantuya datang ke Hong Kong untuk melawat saya. Dia memperkenalkan Abdul Razak sebagai kawan tetapi kemudiannya dia memberitahu mereka mempunyai hubungan dan teman lelakinya. Mereka bertemu saya di sebuah hotel dan saya pulang ke rumah manakala mereka berdua tinggal di hotel itu untuk beberapa hari.

“Saya bertemu lagi dengan Abdul Razak ketika berada di Shanghai, China pada Januari 2005. Saya menemani Altantuya di sana dan tinggal di bilik hotel berbeza dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 6:41 PM