GAMBAR hiasan.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


POLIS menafikan seorang penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Chembong, Rembau, maut akibat dibelasah, sebaliknya lelaki itu meninggal dunia disebabkan kecederaan lama dalam kepala, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, Muhammad Aizuddin Awang, 24, memberitahu rakannya dia mengalami sakit kepala ketika berada di bilik asrama pada 8.45 malam.

Beliau berkata, panggilan dibuat ke Klinik Kesihatan Pedas, namun penuntut Sijil Kemahiran Operator Kren itu tiba-tiba pengsan dan tidak sedarkan diri.

“Pegawai perubatan yang tiba memberikan bantuan pernafasan, namun gagal sebelum dia dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

“Muhammad Aizuddin disahkan meninggal dunia pada 10 malam ketika menerima rawatan.

“Hasil bedah siasat dilakukan doktor semalam mendapati kesan cedera lama pada bahagian kepalanya. Pakar patologi mengesahkan kecederaan itu disebabkan terjatuh dari tempat tinggi dan kepalanya terkena objek tumpul,” katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati lelaki itu terbabit kemalangan motosikal tahun lalu dan pernah menerima rawatan di sebuah klinik swasta di Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, polis difahamkan, dia baru mendaftar di IKBN itu pada 1 Januari lalu dan rakan sebiliknya memaklumkan arwah demam panas sejak tiga hari lalu.

“Jenazah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di kampung halaman di Kelantan.

“Dakwaan beberapa pihak bahawa Muhammad Aizuddin maut akibat dibelasah tidak benar, sebaliknya kematian disebabkan kecederaan lama.

“Pemeriksaan pada tubuhnya tidak menemui kesan perbuatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 6:48 PM