RAKAMAN nyanyian Najib. FOTO media sosial.


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan bakat beliau menyanyi dengan merakamkan lagu bersama sekumpulan anak muda.

Lagu dengan muzik Hatiku Luka Lagi oleh kumpulan dari Singapura, Black Dog Bone dinyanyikan Najib dengan seni kata berbeza mengisahkan kejatuhannya pada 9 Mei tahun lalu serta kecaman beliau terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Video lagu itu berdurasi 4 minit 29 saat baru semalam dimuat naik di YouTube.

Antara seni kata dinyanyikan Najib berbunyi:

“Inilah hari yang paling sedih dalam hidupku

Setelah tanggal 9 Mei 2018 aku disingkirkan

Selama ini aku berjuang bermati-matian

Demi rakyat yang amat kukasih dan sayang

Tapi apakan daya

Aku teraniaya dengan mainan Pakatan Harapan.”

Beliau menyanyikan lagi:

“Harapan setinggi gunung

Berderai menjadi debu

Mengapakah kisah sedih

Terjadi dalam hidupku.”

Sebuah portal berita dalam talian melaporkan, Najib dijangka melancarkan lagu dengan sekumpulan anak muda itu yang menyesali situasi negara di bawah PH.

Menurut portal itu, pihak yang biasa dengan kumpulan produksi memberitahu, lagu berkenaan dirakamkan semalam di Ampang dan ia sebahagian daripada kempen lebih meluas oleh bekas perdana menteri.

Dalam pada itu, kelmarin, Najib memuat naik di Facebook beliau lagu berjudul ‘TQ Sir’ yang menurutnya dihadiahkan kepadanya Julai tahun lalu.

Katanya, lagu berkenaan sedikit sebanyak memberi semangat dan motivasi kepada beliau pada masa yang beliau paling ‘down’ itu.

“TQ kepada penyanyi Oja (Daninas Huza Daud), Donatello (komposer), saudara Alif Zain dan syarikat Metamorphosis Global Studio Sdn Bhd.

“Terima kasih semua. Saya tak akan lupa hadiah yang amat bermakna kepada saya ini. Lagu dan lirik tetap best.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 7:21 PM