Anggota bomba bersedia mengangkat mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba.
Farah Suhaidah Othman

MAYAT seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui terapung dalam kolam ikan di Persiaran Kanthan 1, Kanthan Baru, Ipoh, 12.20 tengah hari, hari ini.

Mangsa dikenali Muhammad Azizul Roslan, 24, berdasarkan pengecaman pakaian mangsa oleh ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pemeriksaan awal terhadap mayat mendapati ada kesan jerutan pada leher, selain cedera di beberapa bahagian kepala termasuk lebam di mata kiri dan pipi serta telinga kiri.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ke lokasi kejadian untuk memancing.

“Kita dapati joran digunakan mangsa sudah dipatahkan dan kawasan berkenaan terbuka serta tidak berpagar.

“Mayat mangsa ditemui pada jarak empat meter dari kawasan tebing kolam berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ali berkata, berdasarkan keterangan bapanya, mangsa keluar rumah pada jam 1.30 tengah hari semalam untuk memancing namun, tidak pulang.

“Bapa mangsa mula mencari mangsa di kawasan kolam berkenaan dengan bantuan anggota Balai Polis Kanthan Baru yang kemudian mengesan motosikal mangsa berada di lokasi kejadian pagi tadi (hari ini).

“Mayat mangsa kemudian ditemui dekat semak dalam kolam berkenaan dengan kakinya kelihatan terapung,” katanya.

Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat yang mungkin dijalankan pagi esok.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 8:30 PM