PENGAMAL media dibawa menaiki tiga belon udara panas di Nibong Tebal, baru-baru ini sempena mempromosi Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2019 pada 9 dan 10 Februari ini. FOTO Danial Saad.
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


LIMA belas 15 belon udara panas akan menyertai Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang di Padang Polo, Georgetown, pada 9 dan 10 Februari depan.

Belon udara terbabit adalah Black Sheep, Gnome, Robot Woozi, Clown Bruno, Princess Nelly, House Ballon, G-Buoe, Moon, Patch Adams, Kedah, Skyrainbow Blue, Midori, Wanderer dan Rising Star.

Pengarah MyBalloon Adventure, Izzati Khairuddin, berkata penganjuran fiesta bagi tahun kelima itu membabitkan penyertaan 10 negara termasuk Malaysia dengan pelbagai bentuk khas ditonjolkan.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti disediakan dan boleh disertai pelbagai lapisan usia sepanjang fiesta itu berlangsung bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam.

“Terdapat aktiviti menarik di Zon Ria yang boleh disertai keluarga seperti permainan belon gelembung, bengkel kreatif, menaiki bot kayuh, terjunan lelabah songsang bagi kanak-kanak dan dewasa, trampolin dan lain-lain lagi.

“Acara kemuncak ialah pertunjukan ‘Night Glow’ dan bunga api selepas perasmian pembukaan yang dijangka disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada 8.15 malam 9 Februari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Penggiat negara lain yang terbabit ialah dari Amerika Syarikat, Brazil, Sepanyol, Belgium, Slovakia, Jepun, Korea, Vietnam dan Taiwan.

Izzati berkata, bagi acara pra-promosi, pengunjung berpeluang menyaksikan belon udara panas diletakkan di beberapa lokasi iaitu di Taman Perbandaran Pulau Pinang, Padang Kota Lama dan di tepi pantai berhampiran Parkroyal Penang Resort.

Beliau berkata, pengunjung di sekitar Seberang Perai Selatan berpeluang menyaksikan 10 belon udara panas dinaikkan di Padang Awam Jawi pada 8 Februari depan.

Katanya, bagi menambah keseronokan dan pengalaman, akan ditampilkan belon watak badut dan Dewa Kekayaan atau ‘God of Prosperity’ sempena sambutan Tahun Baru Cina, tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 10:05 PM