DR Lee (kanan) melihat mesin rawatan sakit jantung selepas merasmikan Perkhidmatan Penjagaan Jantung di Hospital Tung Shin, semalam. FOTO NSTP
Nor Afzan Mohamad Yusof

Kuala Lumpur : Golongan perokok akan dikenakan tindakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) jika melepaskan ketagihan mereka di hadapan premis berdekatan restoran pada masa depan.

Ini berikutan KKM semalam menjelaskan semua premis perniagaan boleh membuat permohonan kepada kementerian itu sebagai kawasan larangan merokok.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, permohonan itu bagi membolehkan penguat kuasa kesihatan mengambil tindakan terhadap perokok yang merokok di hadapan premis bersebelahan restoran.

Katanya, KKM menerima banyak aduan daripada pemilik premis berhampiran restoran dan tempat makan, di mana perokok akan merokok di sekitar premis berkenaan.

“Kawasan larangan merokok membolehkan perokok yang merokok di premis itu, dikenakan tindakan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Pusat Perkhidmatan Jantung Hospital Tung Shin di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Hospital Tung Shin, Tan Sri Datuk Khoo Chai Kaa.

Dr Lee berkata, minggu lalu lebih 100 premis perniagaan di Sabah mendapat ‘Sijil Reben Biru` sebagai penghargaan kerana secara sukarela membuat permohonan mengisytiharkan kawasan perniagaan mereka sebagai kawasan larangan merokok.

Mengenai perkembanganpenguatkuasaan larangan merokok di premis makanan berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, Dr Lee berkata ia memperoleh sambutan baik.

“Kita tidak mengeluarkan saman, tetapi kita hanya bagi surat amaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 10:26 AM