Azura Abas; Mohd Husni Mohd Noor; Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan
cnews@nstp.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad tidak tahu menahu sama ada kontrak kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah ditamatkan atau tidak.

Perdana Menteri memaklumkan baru pulang dari lawatan kerja di luar negara dan tidak tahu mengenai penamatan kontrak berkenaan.

“Saya tidak tahu dah tamat (kontrak) atau tidak.

“Tapi salah satu cara kita menangani masalah ini dengan menamatkan kontrak tapi bila kita tamatkan kontrak kita kena bayar pampasan.

“Kita akan bincangkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam di Putrajaya hari ini.

Dalam laporan baru-baru ini, Malaysia ketika ini dalam fasa mencari kontraktor baharu bagi menerajui projek ECRL, selepas menamatkan penganugerahan kontrak kepada CCCC.

Berdasarkan sumber, kerajaan merangka usaha supaya kos pembinaan projek rel mega bagi menjana manfaat penduduk Pantai Timur itu dikurangkan kepada separuh berbanding nilai awal, iaitu daripada RM81 bilion kepada hanya RM40 bilion.

“Keputusan penamatan kontrak itu diambil susulan kegagalan CCCC mempertimbangkan permintaan kerajaan seperti penggunaan produk dan perkhidmatan tempatan dalam pelbagai fasa pembinaan projek berkenaan,” katanya seperti dilaporkan portal berita berpangkalan di Singapura, Straits Times, kelmarin.

CCCC menerusi kenyataan media, pada 4 Julai lalu, menjelaskan semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer (km) digantung berkuat kuasa serta-merta.

Firma berpangkalan di China selaku kontraktor utama projek mega itu mengesahkan menerima notis untuk menggantung semua kerja projek ECRL daripada pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Arahan penggantungan dikeluarkan MRTL itu susulan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa kos sebenar projek ECRL menjangkau RM81 bilion, berbanding RM66 bilion seperti dilaporkan sebelum ini, sekali gus ia perlu dikurangkan secara signifikan supaya berdaya maju dari segi kewangan.

Dr Mahathir Mohamad, pada 22 Oktober lalu, dilaporkan berkata keputusan kerajaan membatalkan beberapa projek mega adalah disebabkan kekangan kewangan serta dapat menjimatkan kos menjangkau RM300 bilion.

Beliau berkata, antara projek yang dibatalkan merangkumi ECRL, Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HCR).

“Kita bukan suka-suka batal (projek mega). Macam-macam perkara yang kita tak mampu bayar tetapi dilakukan juga, itu masalahnya dan ia menelan kos sebanyak RM300 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 10:53 AM