Anggota polis menahan suspek kes rogol seorang remaja perempuan di Balai Polis Kota Sentosa, Kuching. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TINDAKAN seorang lelaki menghadiahkan telefon bimbit gagal mengaburi perbuatan terkutuknya merogol seorang remaja perempuan sejak Mac tahun lalu.

Perbuatan keji suspek berusia 46 tahun itu terbongkar kelmarin selepas mangsa berusia 16 tahun menceritakan kejadian kepada pengetua sebuah rumah perlindungan kanak-kanak.

Menceritakan semula kejadian, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, mangsa menetap di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Padawan mengakui dirogol suspek sebanyak dua kali sejak Mac hingga April tahun lalu.

Menurutnya, suspek yang juga pemandu di pusat perlindungan berkenaan melakukan perbuatan terkutuk itu di bilik kosong dan belakang dewan premis berkenaan.

“Suspek melakukan perbuatan itu walaupun mangsa meminta untuk dilepaskan.

“Suspek juga menghadiahkan mangsa sebuah telefon bimbit dengan harapan perbuatannya itu tidak diceritakan kepada sesiapa,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, perbuatan itu terbongkar selepas timbalan pengetua rumah perlindungan itu mengetahui mangsa memiliki telefon bimbit yang dihadiahkan suspek.

Katanya, selepas dipaksa, mangsa akhirnya mengakui telefon bimbit itu dihadiahkan suspek bagi menutup perbuatan terkutuknya.

“Mangsa kemudian dibawa membuat laporan polis kelmarin sebelum pemeriksaan kesihatan mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.

“Berdasarkan laporan itu, sepasukan polis menahan suspek di Balai Polis Kota Sentosa ketika dipanggil memberi keterangan jam 6 petang kelmarin.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 11:22 AM