ROSMAH Mansor keluar dari Mahkamah Tinggi selepas selesai prosiding pindahan kes. FOTO Muhd Zaaba Zakeri
Farah Marshita Abdul Patah


ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, terdapat cubaan untuk kes rasuah yang dihadapinya dipercepatkan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akhberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah, 67, ketika prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, Akhberdin memberitahu mahkamah, pihaknya perlu meneliti kesemua 360 muka surat dokumen membabitkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

"Bagaimanapun, anak guam kami merasakan terdapat cubaan untuk mempercepatkan proses pendakwaan terhadapnya," katanya.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memberitahu mahkamah bahawa prosiding hari ini hanya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi dan tidak membabitkan permohonan untuk kes dibicarakan bersama.

"Antara alasan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi adalah kerana pihak pendakwaan mahu kes itu selesai dengan cara yang teratur kerana Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang luas berbanding Mahkamah Sesyen.

"Sekiranya kes dimulakan di Mahkamah Tinggi, ia boleh didengar sehingga ke Mahkamah Persekutuan," katanya.

Tambahnya lagi, pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan untuk kesemua kes yang dihadapi Rosmah dibicarakan bersama.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 15 Mac ini untuk mendengar permohonan memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 15 November tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan RM187.5 juta, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak, daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, antara Mac hingga April 2016.

Selain itu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di No 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 2:03 PM